Sunday, February 26, 2012

Senja Cintaku Berbisik (13)

Aku melihat paparan skrin handphone. Bagai dipanah petir kurasa! Nama Amir Hamzah berkelip-kelip mengikut tona lagu. Aku berkira-kira sama ada ingin jawab atau tidak. Memang aku hendak sangat berhubung dengan encik Amir. Tapi kali ini tiba-tiba aku seperti dalam dilema..

"Ya," sapaku ringkas sebaik sahaja aku tekan pad kekunci telefon.
"Saya nampak awak. Saya dalam perjalanan ke sana. Naik kereta Iswara plat Terengganu yang berhenti sebelah awak nanti.."
"Encik Amir, encik.." Dia telah mematikan talian telefon. Belum sempat aku berkata apa-apa. Apa yang perlu aku lakukan sekarang? Beredar dari sini atau menunggunya? Selamatkah aku bersamanya? Bolekah aku percaya dia? Ya Tuhanku... Aku memerhatikan sekeliling. Dari jauh memang ada kelibat kereta yang menuju ke arahku. Aku berjalan sedikit ke hadapan dan meletakkan basikalku di pondok menunggu bas. Kereta yang dimaksudkan itu berhenti berhampiranku. Tidak jelas kelihatan pemandunya kerana cermin kereta agak gelap. Aku memberanikan diri membuka pintu kereta. Encik Amir didalamnya. Sedikit lega. Tetapi aku masih belum boleh mengatakan aku berada dalam keadaan selamat sekarang ini.

"Siapa punya kereta?" Mungkin pertanyaan itu tidak sesuai ketika ini tetapi itu usaha aku untuk cuba menenangkan hati.
"Adik saya," ringkas encik Amir. Tidak nampak pula riak wajah untuk bergaduh dengan aku ataupun ingin memarahi aku.
"Encik Amir dah berhenti kerja?" tanyaku lagi. Dia mengangguk.
"Kenapa?" Aku menambah.
"Saya dapat mesej ugutan," balasnya.
"Siapa hantar?"
"Mungkin geng-geng penjahat tu,"
"Saya tak faham kenapa encik Amir seolah-olah terlibat dalam masalah ini,"
"Banyak yang awak tak tahu Nia.."
"Maka beritahu saya!" Aku memotong percakapan encik Amir. Sesungguhnya aku benar tertekan berada dalam situasi sekarang. Encik Amir mengeluh kecil.
"Silap kami," katanya.
Kami? Apa yang dia maksudkan dengan kami?
"Sebenarnya duit itu saya yang pinjam," ujar encik Amir.
"What? Takkanlah dua ribu lima ratus pun nak pinjam. Nak masuk MLM pula, encik kan pensyarah. Mustahil pensyarah tak ada duit," rungutku.
"Bukan nilainya sedikit itu. Dan bukan untuk tujuan itu," terangnya.
"Apa ni? Saya tak fahamlah. Bukan sikit itu. Bukan tujuan itu. Benda apa semua ni?"
"Kami kena blackmail."
Aku semakin bingung.
"Ugut apa pula ni?" letih aku memikirkan masalah ini.
"Aishah mana?Kenapa handphone dia off?"
"Saya pun sedang cari dia. Sekejap, saya nak encik Amir cerita dari mula,"
Encik Amir menarik nafas panjang. Mungkin dia tidak tahu bagaimana untuk menceritakan kepadaku.
"Ok. Kami kena ugut dua ratus ribu,"
"Dua ratus ribu? Kenapa? Kenapa tiba-tiba pula orang nak ugut-ugut ni?"
"Nia. Awak diam dulu boleh tak? Awak makin buat saya rimas!" marahnya. Salah aku juga.
"Ada orang rakam video saya dan Aishah sewaktu di hotel. Kemudian ugut saya bayar dua ratus ribu dalam masa dua hari. Jika tidak video itu akan di hantar ke pengurusan kolej dan dimuat naik di internet,"
Terbeliak mataku rasa nak tersembur biji mata. Subbahanallah!
"Apa semua ni encik Amir? Ya Allah kawan aku..."
"Saya dah bayar. Kemudian dia minta lagi lima puluh ribu. Itupun saya bayar tapi tidak cukup lagi dua ribu lima ratus. Dia minta Aishah sebagai ganti cukupkan nilai tu. Saya tak setuju. Saya pun tidak tahu yang Aishah menurut permintaan mereka. Dan sekarang mereka ada dua video aksi dan minta lagi dua ratus ribu. Saya tak tahu di mana Aishah sekarang,"
Bagai gugur jantung aku rasa. Aku terdiam mendengar cerita encik Amir. Aku tidak tahu apa yang aku rasa ketika ini. Marah. Sedih. Sakit hati. Benci... macam-macam perasaan. Dan tiba-tiba aku sebak. Sambil mengesat air mata di pipi...
"Aishah ada pulang ke bilik. Dia tanya pasal encik. Kalau-kalau encik ada cari dia," suaraku tersekat-sekat. Aku cuba menahan sebak.
"Dia beritahu jangan lapor polis. Dia keluar awal-awal pagi dalam pukul lapan lebih. Puas saya cari dia. Saya cari encik juga dalam masa yang sama. Dua-dua orang saya tak jumpa," tambahku.
"Awak dari mana ni?"
"Balai polis. Buat report," ujarku.
"Semalam saya dapat mesej ni, tengah malam tadi," aku menghulurkan telefon bimbitku kepada encik Amir untuk menunjukkan mesej yang aku terima malam semalam.
"Shit!" bentaknya.
"Apa yang mereka buat dengan Aishah?!" marah encik Amir. Aku tersedu-sedu menangis.
"Kita kena tinggalkan tempat ini," kata encik Amir.
"Kita? Tidak. Saya tidak akan ke mana-mana," balasku.
"Saya tidak ada kena mengena dengan masalah ini," tambahku lagi.
"Kenapa encik Amir libatkan saya pula dengan hal ni, dari mula lagi saya pelik. Lagi satu, kenapa encik Amir bawa saya ke kawasan bukit tempoh hari?"
Encik Amir diam sejenak. Benci aku melihat mukanya. Lelaki yang mementingkan diri sendiri.
"Saya janji dengan Aishah nak bawa awak pergi dengan kami sekali. Sebabnya, mereka kata kalau kami hilangkan diri, mereka akan cari awak. Mereka tahu awak kawan Aishah. Mungkin mereka pernah nampak awak dengan Aishah. Tapi, Aishah sekarang ni punya rancangan sendiri. Saya pun tak tahu. Dia kata dia tidak mahu libatkan awak. Dan tak mahu susahkan awak. Dia nak tanggung semua ni sendiri."
"Sekarang ni encik tak berhutang apa-apa dengan mereka. Kenapa mereka begitu marah?"
"Sebenarnya.. saya dapat lupuskan salinan asal video kami. Aishah yang bakar laptop tu. Sekarang cuma tinggal video Aishah dengan lelaki-lelaki yang beli dia malam tu," ceritanya.
Aku antara percaya dengan tidak kata-kata encik Amir. Dia boleh bohong jika dia mahu seperti mana Aishah membohongiku. Reka cerita yang buat aku percaya seratus peratus!
"Kami dikatakan cari pasal dengan mereka. Mungkin ada banyak lagi video dalam laptop tu,"
"Saya rasa.. encik Amir berhentikan saya di sini. Saya tidak mahu bersama dengan encik Amir. Kalaulah penjahat-penjahat tu cari saya, itu takdir saya. Biar allah yang tentukan. Saya tidak mahu sangkut paut dengan encik Amir. Berhenti sekarang," ujarku pasrah. Encik Amir memandangku.
"Semoga awak tidak menyesal. Kalau ikut saya. awak pasti selamat. Kita cuma ke luar negara untuk beberapa tahun. Sampai semua ni boleh kira settle,"
"Encik pasti saya akan selamat dengan encik? Aishah pun tak rasa selamat. Itu sebablah dia guna rancangan sendiri," balasku. Encik Amir mendengus kasar. Mungkin marah dengan  aku. Dia memberhentikan kereta itu di tepi jalan. aku turun. Mujur aku selamat dari encik Amir. Mujur dia tidak apa-apakan aku. Aku berada di kawasan lebuh raya. Lokasi tepat aku tidak tahu. Aku terus berjalan ke hadapan. Fikiran dan jiwaku kosong. Aku hanya terkenangkan nasib Aishah. Tiba-tiba telefonku berbunyi. Aku melihat di skrin telefon.

Saturday, February 25, 2012

Senja cintaku berbisik (12)

Aku dikejutkan dengan laungan azan dari arah Masjid Sultan Ismail. Aku terus mencapai handphone untuk melihat kalau-kalau ada mesej atau panggilan yang aku tidak sedar. Memang ada satu mesej yang mungkin baru dihantar. Agak risau juga untuk membacaya. Namun ku kuatkan semangat ini untuk melihat isi kandungan mesej.

 SOHABUL KHAIR

Mesej itu datang dari Hafiz. Hati tidak berbunga seperti selalu. Aku dirundum resah. Aku terus ke bilik air untuk mandi kemudian menunaikan solat subuh. Selesai mandi kulihat ada lagi satu mesej masuk.

KHAIFAHALUKI? BARAKALLAH HU FIK

Juga dari Hafiz. Mungkin dia ternanti-nanti balasan mesejku. Selesai aku solat subuh, aku terus bersiap-siap untuk keluar. Sebelum itu..

TERIMA KASIH UNTUK DOA PAGI-PAGI HARI

Itu balasan mesej ringkasku untuk Hafiz. Moga dapat menghilangkan resah penantiannya. Jika dia menantikan balasan mesej ku. Jika tidak, cukuplah sekadar sebagai ucapan terima kasih untuknya. aku kayuh basikal menuju ke balai polis. Harap-harap sudah ada polis yang bangun dari tidur. Sampai sahaja di balai, aku terus menceritakan apa yang berlaku. Polis wanita yang bertugas di kaunter pagi itu menyuruh aku membuat laporan bertulis. Riak wajah polis itu bersahaja. Langsung tidak menunjukkan reaksi cemas seperti aku. Penat aku bercerita dengan penuh semangat siap hampir menitiskan air mata lagi, dia hanya mengangguk dan kemudiannya memberi aku sekeping kertas. Cukup hampa. Itulah yang aku rasakan.

Mungkin betul juga katanya. Kes aku ini kategori kes orang hilang. Mesej yang aku terima tidak boleh dianggap begitu serius. Kerana banyak kes yang hanya main-main. Kakak polis itu suruh aku telefon semua kenalan Aishah dan juga sanak saudaranya. Tambah polis itu lagi bukan Aishah sahaja yang hilang semalam. Dan bukan  Aishah seorang yang kesnya bersangkut paut dengan hutang Ah Long. Itu aku tidak nafikan. Agaknya sudah berapa ramai yang mati kembung di laut...

Aku beri cd memaparkan aksi Aishah bersama lelaki-lelaki itu kepada polis tersebut. Mungkin berguna mungkin juga tidak. Selesai membuat laporan, aku terus pulang. Tidak tahu apa yang harus dilakukan lagi.

Aku melintasi kawasan gereja lama yang letaknya berhampiran dengan kolejku. Kawasan semak samun yang cukup untuk menegakkan bulu roma! Ada sebuah kereta merah dalam kawasan gereja tersebut. Selama ini aku tidak pernah nampak ada sebarang kenderaan di kawasan itu. Aku memang akan menjenguk pandang ke dalam kawasan gereja tersebut setiap kali aku melewatinya.
"Pelik," getus hati kecilku. Mungkin juga kawasan itu nak dibangunkan, tiada apa yang pelik... Kata-kata itu untuk menghilangkan tanda tanya yang tiba-tiba memukul minda kepala. Aku terus mengayuh basikal hingga ke persimpangan jalan.

Tiba-tiba...

Wednesday, February 22, 2012

Senja cintaku berbisik (11)

Menjelang malam baru aku pulang ke kolej. Merata aku cari Aishah. Tapi tak jumpa-jumpa. Aku dah telefon adik Aishah di kampung. Dia langsung tidak tahu apa-apa. Aku pula yang mengundang risau keluarganya. Aishah anak sulung. Adik-adiknya masih kecil. Aishah punya sebab kukuh kenapa dia teringin untuk join MLM si Farhana tu. Aku baru dapat tahu adik bongsunya mengidap penyakit jantung berlubang. Ya Allah, begitu berat ujianMu. Namun aku tetap bertauhid kepadaMu. Dan aku percaya tidak Kau jadikan sesuatu itu dengan sia-sia. Tabahkanlah hati mereka.

Aku sedar ujian untuk Aishah datang bertimpa-timpa. Terperangkap dengan masalah ayahnya yang kaki judi, ibu pula lumpuh akibat kemalangan dulu, kini adiknya disahkan mengidap penyakit pula. Mungkin dia cuba ambil jalan mudah untuk selesaikan semua itu. Aku khilaf sebagai sahabatnya. Aku seharusnya ambil tahu tentang Aishah. Walaupun dia langsung tidak pernah bercerita tentang keluarganya.

Badan terasa begitu letih. Aku terus baring di atas katil setelah selesai menunaikan solat Isya'. Sambil menggengam handphone di tangan.  Aku mengharapkan ia berbunyi. Sama ada dari Aishah atau.. Hafiz. Siang tadi sewaktu terserempak dengan Hafiz, aku beri dia nombor telefonku. Entah mengapa aku berbuat demikian. Mula-mula agak takut. Takut kerana peribadinya. Aku tahu dia bukan calang-calang lelaki. Aku juga tahu aku seperti sudah jatuh cinta kepadanya. Cuma yang aku kurang pasti adakah aku menyintainya atau aku cinta kepada peribadinya. Katakanlah dia nakal seperti kenalan kolej ku yang lain-lain, mungkin aku langsung tidak memandangnya. Aku juga sempat meminta nombor telefon Hafiz. Mula-mula dia agak keberatan. Tapi selepas itu dia terus menuliskannya di atas sekeping kertas kecil. Kertas itu sudah tercicir sewaktu aku sibuk mencari Aishah di stesen bas petang tadi. Namun nombor telefonnya telah kusemat dalam minda.

ASKM. HAFIZ. MAAF MGANGGU AWK. SY HARAP SMS INI X MNIMBULKN KMARAHAN AWK. SY CUMA INGIN BTERIMA KASIH KRN SUDI JD KWN SY.

Dengan beraninya aku hantar mesej tersebut. Aku tunggu. Lama juga. Tiba-tiba...

W'SLM.. INSYAALLAH. JAGA DIRI SAHABAT.

Aku tersenyum sendiri. Rasa macam nak balas pula sms itu. Tapi aku fikir, cukup sampai sini dahulu. Aku tak mahu dia fikir aku mengundang dosa padanya. Jauh dalam hati aku berharap moga dia faham maksudku untuk berkawan dengannya. Aku bukan mahu menjadi teman maksiatnya. Jujur aku mahu menjadi teman hidupnya. Aku tahu dia terlalu baik untukku. Dia mungkin langsung tidak pernah bercinta. Sedangkan aku? Aku mudah jatuh cinta pada lelaki. Jika lelaki itu pandai, maka aku menyintainya. Jika dia baik, aku menyintainya. Jika dia ada ciri-ciri penyayang dan bertanggungjawab terus aku jatuh hati. Tapi, aku cuma tidak suka jika lelaki itu yang dahulu memulakan. Kerana prinsipku tekad. Aku hanya menyintai lelaki yang aku dahulu jatuh hati padanya sebelum dia jatuh hati padaku. Agak rumit prinsip ini. Namun itulah aku. Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi lagi. Tanda mesej masuk. Hati bagai penuh bunga setaman. Tapi..

BODOH. LU KAWAN DIA KN? KUTIP KAWAN LU PUNYA BANGKAI!!!

Ya Allah!! Itu nombor telefon Aishah. Perasaan aku tiba-tiba bergetar. Seluruh tubuh jadi lemah longlai. Aku berdoa ini bukan gurauan Aishah. Sungguh aku buntu. Ya Allah, beri aku petunjuk. Aku menahan getar dalam dada. Seperti mahu menangis sekuat hati. Aku gagahkan diri untuk bangun.  Aku cuba telefon encik Amir. Dia berada di luar kawasan. Tidak tahu di mana encik Amir berada sekarang. Aku cuma tahu memohon doa moga Allah memelihara encik Amir dan Aishah. Tuntas kurasa mereka dalam bahaya. Aku tidak berani keluar waktu malam begini. Esok aku akan buat laporan polis kerana esok baru cukup 24 jam kehilangan Aishah. Aku tidak jadi tidur. Aku bangun dan menunaikan solat hajat. Membaca Yassin untuk mereka moga Allah bersama mereka. Berdoa, berzikir di sejadah sehingga aku tertidur...

Malam yang tiba-tiba kurasa begitu tenang, sejuk nyaman. Walau aku cuba untuk bersengkang mata namun aku seolah dibuai. Aku terbaring di sejadah. Tidur tapi aku rasa seperti dalam keadaan sedar dan hanya doa yang berkumat kamit di bibir.





~Ya Allah, peliharalah sahabatku ya Allah. Lindunginya dunia akhirat ya Allah. Beri aku peluang menemui sahabatku itu ya Allah. Bantu aku ya Allah. Bantu aku... bantu aku...~



































 mulia,

Sunday, February 19, 2012

Senja Cintaku Berbisik (10)

"Aishah!" Aku kaget mendapati Aishah sudah tiada di bilik. Baru sebentar tadi kupesan padanya. Jangan ke mana-mana. Aku benar-benar kusut sekarang. Aku tidak tahu apa tindakan terbaik harus aku lakukan. Lapor polis atau diamkan sahaja. Pergi cari Aishah atau buat tak tahu saja.
"Kau tak habis-habis menyusahkan orang.." getus hati kecilku. Kecewa dengan sikap Aishah. Aku lantas menyarung tudung kepala dan mencapai kunci basikal. Niat aku untuk pergi mencari Aishah. Bawa dia pulang ke kolej ataupun terus teman dia pulang ke kampung. Kampung? Mungkin juga dia ke sana.

Aku mengayuh basikal menuruni jalan berbukit di kawasan fakulti sains teknologi. Di situ ada perhentian bas. Aku fikir mungkin Aishah sedang menunggu bas di situ. Tanggapanku meleset. Tidak kelihatan bayangnya pun. Aku memberhentikan basikal. Menuntun sampai ke koridor fakulti. Sunyi sepi. Mungkin sebab cuti pertengahan semester baru bermula. Cuti seminggu. Aku naik ke tingkat satu bangunan S1 menuju ke kawasan bilik-bilik pensyarah. Pertama kali aku naik ke situ. Selang dua bilik dari tangga aku temui apa yang aku cari. Di pintu bilik terpampang nama  AMIR HAMZAH. Aku ketuk pintu bilik itu perlahan-lahan. Tiada jawapan. Aku ketuk lagi. Masih seperti tadi. Kali ini aku ketuk kuat sikit. Tiada lagi jawapan. Aku hampir hilang sabar. aku ketuk pintu itu dengan kuat dan bertubi-tubi. Juga tiada apa-apa perubahan!
"Encik Amir!" jeritku sekuat hati. Mungkin tindakanku menarik perhatian orang. Tiba-tiba pintu bilik sebelah dikuak. Ada seorang pensyarah wanita keluar dari bilik dan memandangku. Pandangannya tampak mesra.
"Kamu nak jumpa encik Amir? Kenapa?"
"Hantar tugasan," ringkasku. Tipu.
"Oh, boleh hantar pada saya sementara kelas kamu dapat pensyarah ganti. Kamu dari kumpulan apa?"
Aku terperangkap dengan helah sendiri. Susah betul berbohong. Sekali bohong kita perlu bohong dan bohong lagi.
"Pensyarah ganti? Kenapa ada pensyarah ganti?" tanyaku. Selamat soalan itu terlintas di benak fikiran.
"Encik Amir sudah berhenti. Saya pun tak pasti sama ada dia dapat kerja di tempat lain ataupun dia berhenti untuk sambung belajar. Yang pasti dia bukan ambil cuti," ujar pensyarah tersebut.
"Terima kasih, puan," sambil aku berlalu dari situ.
"Assignment kamu?"
Aku menoleh ke belakang.
"Tak mengapa puan. Nanti saya hantar selepas buka cuti semester," helahku. Aku segera menuruni tangga. Encik Amir sudah berhenti kerja. Kenapa begitu drasti tindakannya? Mungkin geng-geng Ah Long itu ada mengugutnya. Tapi dia ke mana? Aku terus mendapatkan basikal. Aku mesti pergi cari Aishah. Aishah juga dalam bahaya.

Sebaik sahaja aku belok ke simpang kiri, aku ternampak Hafiz sedang mengayuh basikal mungkin menuju ke perpustakaan. Aku kayuh basikal perlahan-lahan di belakangnya. Berdoa semoga dia tidak sedar kehadiranku. Tapi jauh dalam hati  aku berharap dia menoleh ke belakang. Aku perlahankan kayuhan supaya jarak antara kami jauh. Tapi aku sedar Hafiz juga makin perlahan. Aku cuba untuk kayuh dengan lebih perlahan sehingga basikalku melelong sedikit. Hafiz berhenti seraya menoleh memandangku. Aku juga berhenti tiba-tiba. Dia tersenyum. Berdiri seperti menungguku. Sumpah aku tidak ingin ke sana tapi aku tidak tahu apa yang menarikku seakan aku bergerak sendiri ke arahnya.

Sampai sahaja aku di situ dia memulakan kayuhan. Dan kali ini kami beriringan. Terasa seperti hilang segala masalah yang berbukit di fikiran. Namun aku tidak boleh terus berbuai dengan perasan. Ada perkara lebih penting yang aku perlu segerakan. Pergi cari Aishah.
"Nia nak ke mana?" tuturnya. Lembut sahaja percakapannya. Sopan. Yang baik-baik sahaja boleh ku diskripsi tentang Hafiz.
"Keluar," balasku.
"Seorang diri? Bahaya Nia. Mana kawan yang selalu sama-sama dengan Nia?"
"Err.. dia.. cuti. Ya, cuti," aku tergagap-gagap menuturkannya. Yalah, ini entah masuk kali ke berapa aku menipu semua orang.
"Bagaimana Hafiz boleh jumpa Nia terbaring di tepi jalan?" Memang itulah persoalan yang bermain di fikiranku sejak dirumah Hafiz lagi.
"Oh, hal itu. Kebetulan. Saya keluar bersiar-siar. Ambil angin bukit. Tiba-tiba ternampak kelibat orang berbaring di tepi jalan. Saya datang dekat, tengok-tengok orang itu Nia. Saya pun terkejut kenapa Nia boleh tidur di situ," guraunya sinis. Aku tersenyum mendengar ujaran itu.
"Nia kalau dah mengantuk, di mana-mana boleh tidur. Janji free," gurauku. Dia juga tersenyum. Senyuman paling manis abad ini...

Prolog ~ Senja cintaku berbisik~

(Maaf sebab saya letakkan prolog ini di tengah2 cerita.. terlupa untuk berbuat demikian sebelum ini..)

~Senja Cintaku Berbisik mengisahkan perjuangan hidup seorang gadis Nia Dahlia setelah terlibat secara tidak langsung dengan masalah peribadi rakan biliknya Aishah. Bertemu cinta hati di awal kisah hidupnya memaksa dia terus bertekad menggapai cinta itu. Mampukah Nia bertahan? Kenali insan-insan yang muncul dalam hidupnya tatkala cintanya berbisik...~

Senja Cintaku Berbisik (9)



Aku lihat kasut Aishah ada di luar bilik. Dengan pantas aku segera menolak daun pintu. Aishah ada di dalam bilik. aku menghela nafas lega. Dia lena berbaring di katil. Aku tidak berniat untuk mengejutkan Aishah bangun dari tidur. Mungkin dia terlalu letih dengan apa yang berlaku padanya. Perlahan-lahan aku letakkan beg dan kemas-kemas apa yang patut.
"Kau dah balik." Rupa-rupanya Aishah sedar kepulanganku. Aku hanya mengangguk. Sengaja tidak mulakan apa-apa perbualan.
"Aku sampai awal pagi tadi, tahu-tahu kau tak ada. Balik kampung?"
"Ya," ringkasku. Tidak mungkin aku ceritakan padanya apa yang berlaku.
"Encik Amir ada jumpa kau?" Pertanyaan itu seakan-akan menerobos ke lubuk hatiku.
"Kenapa?" Aku cuba berpura-pura. Manalah tahu Aishah hanya serkap jarang saja.
"Aku suruh dia jumpa kau, dia ada jumpa kau?" Sungguh aku tidak tahu bagaimana hendak menipu lagi. Bagaimana juga untuk berterus terang?
"Ada.." bergetar sedikit nada suaraku. aku menghampiri Aishah.
"Ada apa-apa yang kau nak kongsi dengan aku?" aku cuba sebaik mungkin memulakan bicara tanpa mengguris atau menghiris perasaannya.
"Kau dah tengok video tu?"
Aku diam.
"Dah tengok?" Aishah mengulang pertanyaan yang sama. Aku angguk.
"Dia ada beritahu kau apa-apa?" tanya Aishah lagi. Seolah-olah aku bagai orang salah.
"Orang yang kau berhutang.. nak sepuluh ribu.."
"Lintah darat tu? Ya, mereka nak sepuluh ribu, aku yang suruh mereka cari encik Amir dan minta sepuluh ribu,"
"Tapi kenapa kau suruh mereka jumpa dia? Kenapa tak direct dengan aku? Sekarang dia pun dah tahu pasal kau,"
"Aku sengaja suruh lanun-lanun tu cari dia. Sebab aku tak percaya mereka tu. Kalau mereka jumpa kau, aku tak rasa kau akan selamat,"
"Macam mana kau boleh agak, si Amir tu akan jumpa  dan beritahu aku?"
"Aku call dia. Lepas aku dapat lari dari mereka semua tu. Aku suruh dia jumpa kau. Dan mungkin sekarang ni encik Amir dalam bahaya." Selamba sahaja reaksi muka Aishah. Langsung tiada rasa takut atau rasa bersalah.
"Kau jangan ikut encik Amir pergi mana-mana. Aku rasa mesti dia sedang cari kau dan aku. Sebab geng-geng ah Long tu mesti cari dia,"
"Aku tak faham kenapa kau libatkan dia dalam hal ni.."
"Dia orang pertama yang terlintas dalam fikiran aku," balas Aishah. Perasaan aku berbaur. Rasa nak marah, geram, sedih... aku langsung tak faham dengan Aishah. Lepas satu, satu masalah dia timbulkan.
"Tak pasal-pasal encik Amir terlibat," getusku.
"Video kau tu.. kenapa kau sanggup buat macam tu?" tambah aku lagi.
"Aku cuma ada pilihan. Nyawa ataupun buat begitu. Kalau aku tak ikut arahan mereka, sudah pasti kau tak akan jumpa aku lagi. Aku pun tak nak lah mati kena bom ke, hanyut laut ke.. setidak-tidaknya, ada nisan untuk aku lagi," ujarnya. Aku langsung tidak bersetuju dengan kata-kata Aishah. aku lebih rela mati mempertahankan maruah daripada bertindak begitu. Mungkin aku tidak berada di tempatnya. Kalau aku diuji sebegitu? Ya Allah, tolong lindungi aku... dan Aishah.
"Aku ada lima ribu," aku cuba memendekkan perbualan. Hati aku benar-benar panas dengan sikap Aishah.
"Aku tak perlu duit kau tu. Faham?" balasnya.
"Kenapa? Apa pula idea kau kali ni?"
"Kau simpan saja duit tu. Entah dari mana kau dapat. aku sebenarnya pun menyesal libatkan encik Amir dengan kau dalam hal ni. Kalau dia selamat, mungkin kau yang tak selamat.." Riak muka Aishah yang tampak bersahaja benar-benar buat aku tertekan. Dia yang cipta masalah, nak tinggal macam tu sahaja.
"Kita lapor polis," cadangku. Aishah hanya ketawa kecil. Belum sempat kau pijak pintu pagar depan tu, agak-agak siapa yang mati dulu?"
Dia mungkin bergurau atau sengaja menakutkan aku. Mustahillah geng-geng Ah Long tu boleh masuk sampai ke kolej ni. Pengawal keselamatan ada.
"Kau nak buat apa?" Malas  melayan karenahnya. Aku hanya ingin dengar sahaja buat masa ni.
"Aku minta maaf dengan kau Nia. Juga pada encik Amir. Aku memang tak berniat nak libatkan orang lain dalam masalah aku. Waktu tu aku terdesak. Memang terdesak. Entah kenapa aku boleh suruh mereka cari encik Amir untuk minta sepuluh ribu,"
"Kenapa encik Amir tak lapor polis? Dan kenapa dia bawa aku kawasan bukit.. sunyi," ceritaku.
"Dia bawa kau kawasan bukit? Lepas tu?"
"Belum sempat sampai ke tempat yang dituju, kami bergaduh. Aku keluar dari kereta," ujarku.
"Mungkin nasib kau baik. Mungkin dia bawa kau ke tempat aku diculik tempoh hari,"
Aku benar-benar terkejut!
"Kau tak payah buat muka terlopong macam tu. Sekarang aku nak kau berhenti dari kolej ni boleh?"
Entah apa jenis permintaan yang dia ajukan. Berhenti dari kolej? Bunyi macam kes besar. Kalau bahaya ini kes polis. Kenapa aku tidak boleh menggunakan khidmat polis untuk selesaikan masalah ini?
"Aku tak faham, kenapa kau tak mahu aku lapor polis,"
"Sebabnya, aku memang ditakdirkan mati untuk masalah ini. Biar apa pun cara," balas Aishah. aku benci dengar ujaran itu. Dia seolah-olah berputus asa. Putus asa pada Tuhan.
"Aku nak mandi dulu. Kau jangan ke mana-mana. Kita belum habis berbincang," ujarku sambil mencapai tuala dan perkakas mandi. Sengaja mandi untuk kali kedua pagi ini. Untuk terapi diri. Aku sungguh tertekan dengan keadaan sekarang. Aishah mengangguk. Sebelum aku keluar dari bilik..
"Nia.." Dia bersuara lembut. Aku toleh memandangnya.
"Kau sahaja sahabat aku dunia akhirat. Aku nak minta maaf dengan kau. Ikhlas. aku bodoh dan berdosa kerana libatkan kau dan encik amir dalam masalah ni, kau maaf kan aku.." Hambar sahaja nada suaranya. Tiba-tiba muncul kekuatan dari dalam diriku untuk pergi mendakapnya. Kami berpelukan. Suasana tegang sebentar tadi kembali tenang. Aku dan dia sama-sama menangis. Aku peluk erat-erat Aishah. Sungguh kami buntu ketika ini. Tuhan.. tolong aku..
"Tadi kau nak pergi mandi kan? Pergilah busuk!" Gurau Aishah. Dia seperti cuba menceriakan keadaan. Dia lantas menolak tubuhku perlahan dan kembali ke katilnya. Aku mengesat air mata di pipi sambil memerhatikan Aishah. Dia membalas pandanganku dan tersenyum..

Thursday, February 16, 2012

Senja Cintaku Berbisik (8)

~Aku cuba lupakan detik pertama pertemuan kami.. walau begitu sukar. Seperti mana kucuba padam ingatan ku padanya. Aku tiada kekuatan lagi Tuhan. Tolong bawa bayang-bayangnya jauh dariku..~

Malam itu aku turun ke bawah. Menuju ke dapur. Dapat ku agak itu jalan ke dapur walaupun kali pertama aku menjejakkan kaki di rumahnya. Aku menangkap bunyi ketawa kecil kanak-kanak dari ruang dapur. Semakin aku menghampiri ruangan itu, tiba-tiba kurasa dada ini makin kuat debarnya. Mungkin aku malu atau...

"Nia, jemput duduk. Mari makan sama-sama," pelawa ummi. aku tersenyum sambil mengangguk. Aku mengambil tempat duduk di kerusi bersebelahan dengan ummi kerana itu sahaja yang kosong. Bila aku duduk baru aku perasan yang kerusi itu juga berhadapan tepat dengan Hafiz. Makin berdebar aku dibuatnya. Sewaktu ummi menghulurkan pinggan nasi kepadaku, aku perasan sendiri yang tanganku seolah-olah gigil sedikit. aku malu atau....

"Ceduk lauk tu Nia, Hafiz suka makan lauk tu.." ujar ummi. Aku menelan liur. Aku sungguh terkejut mendengar ujaran itu. aku nampak Hafiz memandang ibunya. Seakan memberi isyarat menyatakan sesuatu. Mungkin ummi tiada maksud apa-apa. Cuma aku sahaja yang rasa pelik. Aku memandang sambal ayam yang terhidang di hadapanku. Rupa-rupanya si kopiah merah ini sukakan sambal ayam.

 Aku ceduk kuah sambal itu perlahan-lahan bimbang kalau-kalau terpercik ke atas meja. Walau aku tidak memandang Hafiz tapi aku dapat lihat dia memerhatikan aku menceduk kuah tersebut.
"Nia bermalam di sini ya. Esok ummi boleh tolong hantarkan Nia," pelawa ummi. Aku mengangguk. Sekali imbas aku memandang adik-adik Hafiz yang masih kecil. Mereka semua diam terpana melihatku. Seakan aku puteri raja yang duduk mencemar duli bersantap bersama mereka.
"Kak Nia ni cantiklah," Terkedu aku mendengar pujian itu. Aku hanya senyum malu-malu.
"Awatif, makan. Jangan kacau kakak." Lagi terkedu aku dengar teguran Hafiz.
"Wawa cakap yang betul, kan ummi?" Awatif cuba mendapat pembelaan. Ummi menguntum senyum.
"Cantik. Memang cantik ciptaan Allah. Sebaik-baik penyempurnaan." Bagai ada bayu dingin menghela di pipiku. Pertama kali aku dengar pujian sebegitu rupa. Pujian yang aku agak islamik. Aku cepat-cepat kunyah nasi di dalam mulutku sambil cuba tumpukan perhatian terhadap apa yang aku makan. Aku tidak mahu lagi hilang fokus. Nanti aku akan nampak seperti gelabah. Tiba-tiba.. Uhuk! Memang silap aku. Sudah besar panjang pun boleh tersedak. Aku menutup mulutku sambil tangan kiri cuba mencapai gelas berisi air masak yang agak jauh sedikit ke hadapan. Juga pada masa yang sama aku nampak Hafiz dengan cepat cuba mencapai gelas itu untuk diberikan kepadaku. Kerana dua-dua orang dalam keadaan kelam kabut, aku dan Hafiz tersentuh jari masing-masing. Akibatnya..
"Ya Allah," terpacul keluar dari mulutku. Air dalam gelas itu tumpah membasahi lapik meja. Kerana aku terkejut tersentuh jarinya, dia juga begitu. Kami sama-sama melepaskan gelas tersebut dan... tumpah. Ummi cepat-cepat meletakkan tisu di situ. Aku lihat muka Hafiz merah padam. Telinganya lagi merah daripada muka. Dia bangun menuju ke bahagian belakang dapur. Sebentar kemudian dia membawa kain pengelap. Aku rasa cukup kekok.
"Ummi, saya minta maaf," ujarku. Aku harap sangat ummi tidak terasa hati dengan apa yang berlaku.
"Tak mengapa, terjadi bukan kehendak kita," ujar ummi menyebabkan aku sedikit lega.
"Biar dulu kain tu Hafiz, makan dulu." Hafiz duduk kembali di kerusinya. Dia membisu seribu bahasa. Mungkin dia malu.

Selesai makan, kami semua berehat di ruang tamu. Aku ingin membantu pembantu rumah ummi mengemaskan meja makan namun dihalang ummi. Alasan ummi aku ini tetamu. Banyak juga cerita yang ummi kongsi dengan aku termasuklah pemergian arwah bapa Hafiz. Rupanya Hafiz ini anak yatim. Aku tidak pernah tahu hal kisahnya sebelum ini. Lama juga kami berbual sehingga aku minta izin ummi untuk masuk tidur. Lagipun, adik-adik Hafiz bersekolah esok. Ummi pula perlu bangun awal menguruskan anak-anaknya sebelum ke pejabat. Rupanya Hafiz  mempunyai seorang ibu peguam syariah. Hebat sungguh keluarganya jika dibanding dengan keluargaku. Aku hanya anak seorang pemandu lori.

Ketika aku sedang bersiap untuk tidur, pintu bilik diketuk sekali dan sekeping kertas A4 ditolak masuk ke dalam melalui bawah pintu. Aku pergi mengambilnya. Nia, saya mohon maaf atas kesilapan sebentar tadi. Demi Allah saya tidak sengaja dan tidak layak untuk menyentuh muslimah yang bukan muhrim saya. Saya benar-benar menyesal. Maafkan saya. Aku terduduk. Ada juga lelaki seperti ini. Ku sangkakan kaum Adam memang suka mengambil kesempatan namun ada juga yang bukan begitu. Aku lipat kertas A4 itu hingga menjadi kecil. Aku selitkan di antara muka surat buku nota kuliah. Hari ini macam-macam berlaku kepadaku. Apa yang ingin Tuhan tunjukkan kepadaku masih lagi samar. Aku doakan Aishah. Moga Allah membantunya. Aku doakan arwah ibuku dan arwah bapa Hafiz. Jauh dalam sanubariku, aku bersyukur ditemukan dengan keluarga ini. Dan aku sangat bersyukur ditemukan dengan Hafiz.

Aku tersenyum sendiri. Tiba-tiba aku dilayan seperti wanita suci yang tidak pernah melakukan dosa. Hati tiba-tiba berbunga riang. Aku masih lagi tersenyum sendiri.

~Adakah ini namanya cinta?~

Senja cintaku berbisik (7)

Cahaya kuning lampu menusuk tajam anak mataku. Aku gagahkan diri membuka mata yang terasa bagai batu bergantung di kelopak mata. Aku nampak samar-samar lampu. Syukur bukan aku terjaga dalam keadaan masih tersadai di bahu jalan. Aku tarik nafas dalam-dalam. Bau aromaterapi vanilla sedikit menyegarkanku. Aku dengar alunan suci ayat al-quran. Suasana bilik bertema hijau ini nampak cukup redup. Aku cuba bangun untuk duduk bersandar. Kepala dan dahi masih lagi sakit. Aku cuba meraba dahiku di tempat yang sakit itu. Tetapi balutan kapas menghalangku. Siapa insan yang menolongku ini? aku perhatikan sekitar bilik kalau-kalau ada gambar orang yang aku kenal. Tiada sekeping gambar manusia pun di bilik ini melainkan gambar pemandangan sekitar kota Makkah pada waktu malam. Meskipun hanya gambar namun ia sangat menenangkan melihat kaabah yang gah tersergam berserta ratusan hamba yang memuji keagungan Ilahi.

"Assalamualaikum, Nia." Suara wanita tiba-tiba menyapaku. Aku memandang wanita itu. Dia tenang bersahaja lalu duduk di sebelahku.
"Nia sudah sembuh?" lembut pertanyaannya. Lantas aku terus teringatkan arwah ibu. Meskipun masih berdenyut dahi ini seperti sudah reda dengankehadirannya.
"Makcik ni siapa?"
"Panggil saja Ummi. Ummi ini ibu Hafiz." Terkejut aku mendengar nama itu! Hafiz? Ah, mungkin ini Hafiz lain..
"Hafiz jumpa Nia pengsan di tepi jalan,"
Subbahanallah! Memang ini Hafiz yang aku kenal. Kopiah merah!
"Tapi.."
"Nia masih letih. Berehat dulu. Boleh beri Ummi nombor telefon keluarga Nia?" ujar Ummi.
"Err.. saya cuma ada kakak," balasku.
"Tidak mengapa, beri Ummi nombor telefon kakak Nia,"
"Tak perlulah Ummi. Nanti kakak saya risau. Lagipun dia di luar negara sekarang."
Boleh-boleh aku cuba elakkan ummi daripada menelefon kakak. Kalaulah kak Suria dapat tahu, mati aku!
"Ummi..." Aku dengar suara Hafiz dari luar bilik.
"Nia bagaimana?" Tidak kusangka dia begitu ambil berat terhadapku. Ku pandang ummi. Ummi mengukir senyum.
"Nia nampak sihat. Kan Nia? Nia rehat dulu ya. Hafiz risau apa-apa terjadi pada Nia. Nia keluar makan malam di dapur nanti ya. Ummi dah siapkan. Ada baju persalinan di dalam almari. Ini bilik anak perempuan ummi, Nabihah." Ummi bangun meninggalkan aku. Aku cuba menjenguk ke luar bilik sebelum ummi menutup pintu. Aku hanya nampak lengan baju melayu biru. Itu mungkin Hafiz. Aku tidah tahu bagaimana dia menyelamatkanku. Aku teringin benar untuk tahu. Aku bangun mencapai tuala dan mencari baju persalinan di dalam almari. Tiba-tiba aku ternampak sekeping gambar keluarga dalam bingkai kayu ukir. Hafiz ada dalam gambar tersebut. Ku hitung berapa orang adik beradiknya. Subbahanallah. Sebelas orang. Dia nampak yang paling sulung dalam gambar itu. Aku amati gambar itu dengan jelas. Hatiku terasa sangat dekat dengan mereka. Hatiku begitu tenang. Walau beribu masalah bersarang di kepala namun aku cukup tenang pada ketika ini. Ku tatap lagi gambar itu dan kali ini ku tumpukan pada Hafiz. Umpama hati ini tersenyum memandangnya. Sudah lama aku tidak merasakan perasaan bahagia seperti ini semenjak pemergian ibu...


~Tuhanku... aku seolah-olah mencintai dia...~



Senja Cintaku Berbisik (6)

Semasa di kelas bahasa inggeris tadi aku nampak kopiah merah curi-curi jeling ke arahku. Bagaimana aku boleh tahu? Dua jam kelas berlangsung titik tumpuanku hanya pada kopiah merah. Aku takut kalau-kalau dia fikir yang bukan-bukan dengan kata-kata aku semalam. Yalah, dia pelajar yang disegani di kolej kami. Aku pun jadi turut segan dengan dia. Memang terkenal ketinggian ilmu agama dan kerendahan hati budinya. Mungkin dia tidak minta disegani sebegitu rupa. Tapi adat manusia. Orang akan jadi segan dengan kita bila ada cop hitam di dahi. Itu bukan sebarangan cop. Kata arwah tok wan itu tanda orang banyak bersujud. Disebabkan itu terkesan pada dahinya. Itu jawapan tok wan sewaktu aku bertanyakan kenapa dahi Lebai Wahab ada lebam? Kini aku nampak sendiri kesan itu di dahi kopiah merah. walaupun hanya nampak separuh kerana ditutup dengan rapi oleh kopiah merah yang dipakainya.

Aku pelik kenapa si kopiah merah ni asyik jeling-jeling memandangku. Kadang-kadang aku balas jelingan itu sehinggakan dia terkejut dan menunduk saja kepalanya memandang meja sehingga selesai kelas. Puas hati aku. Aku menuruni tangga seribu menuju ke kafeteria. Oh ya, tangga seribu ini dinamakan sempena jumlah anak tangga yang begitu banyak sehingga tidak terkira oleh kami. Bayangkanlah tangga yang dibina dari atas bukit sampailah ke bawah bukit. Bukankah tangga seribu nama yang sesuai untuknya? Aku memesan teh limau ais sebagai upah untuk diriku sendiri kerana berjaya menuruni tangga seribu. Tidak ramai pelajar yang sanggup menggunakan laluan itu. Cuma yang gagah perkasa seperti aku saja yang sanggup! =)

"Nia," Ops! Aku kenal sangat dengan suara itu. Takut aku menoleh untuk memandangnya.
"Nia, jangan buat tak dengar pula,"
"Apa lagi encik Amir?"
"Boleh kita berbual kat tempat lain?"
"Saya ada kerja nak buat lepas ni. Tak ada masa nak berbual,"
"Sebentar saja. Pasal Aishah." Dia seakan cuba memancing minatku. Mahu atau tidak aku menurutinya. Buat pertama kalinya aku masuk dan duduk dalam kereta BMW milik encik pensyarah itu. Dia memandu menuju ke kawasan berbukit. Mengapa begitu jauh dia bawa aku jika mahu berbual tentang Aishah?
"Kita nak ke mana sebenar ni, encik Amir?" Aku mulakan perbualan. Bosan lama-lama duduk berdua dalam kereta bersamanya. Dia hanya tersengih. Benci aku melihat sengihan itu.
"Diam saja. Nanti awak akan tahu,"
"Saya ada kelas lepas ni," bohong aku. Dia hanya membisu. Sepatah pun tidak membalas.
"Encik Amir! Jangan menguji kesabaran saya. Cukuplah saya bersabar dengan perangai encik Amir selama ini." Aku sendiri tidak percaya apa yang aku tuturkan itu. Encik Amir memandangku tajam. Dia mengeluh dan menekan brek kereta dengan tiba-tiba. Kereta itu hampir terbabas dek cara pemanduannya.
"Kamu tengok ni." Dia memasukkan sekeping cd ke dalam cd driver . Entah mengapa tiba-tiba jantungku berdegup kencang. CD itu memainkan satu wayang yang dirakam kamera amatur. Aku lihat betul-betul pada wanita di dalam wayang tersebut. Aku kenal benar suaranya. Rupanya.
"Aishah?"
"Mana encik Amir dapat ni? Apa encik dah buat pada Aishah? Saya tak akan biarkan encik Amir buat begini pada Aishah!" Aku seperti tidak dapat mengawal diri lagi. Benci aku pada encik Amir semakin meluap-luap. Psiko rupanya dia ni.
"Bertenang. Bukan saya yang buat semua ni. Saya beli CD ni sewaktu sedang makan malam di restoran mamak malam semalam, saya pun terkejut tengok. Yang paling saya terkejut bila tengok Aishah heroinnya,"
"Diam! Saya tak percaya. Ini semua muslihat encik Amir kan? Apa yang encik mahu sampai buat kawan saya begini?!" Aku marah betul dengan lelaki di hadapanku sekarang. Lelaki yang aku rasa bertopengkan syaitan. Aku tahu ada berjuta sebab Aishah di atas katil melayan lelaki-lelaki dalam video ni. Aishah bukan perempuan liar!
"Awak nak tuduh saya? Saya cuba nak tolong awak dengan rakan awak, awak cakap begini pada saya? Masalah peribadi janganlah dicampur aduk dengan masalah ini!"
"What? Masalah peribadi apa pula ni? Bila masa pula saya berkongsi hal peribadi dengan encik?!"
"Surat cinta dua bulan lepas yang saya dapat siapa yang karang? Awak kan? Cuma awak saja yang pandai bersastera dalam kolej ini,"
"Surat cinta apa? Bila masa saya tulis? Tengok muka encik pun saya geli, ini kan nak karang surat untuk encik,"
"Saya dah kirim surat tu pada seorang pelajar lelaki suruh dia pulangkan semula kepada awak, sebab saya rasa tidak boleh nak terima cinta awak. Saya yang silap. Saya tak sengaja buat awak jatuh hati pada saya. Saya dah bertunang. Lagipun saya perlukan isteri yang berkarier. Bukan pelajar yang tak ada wawasan macam awak!" Berdesup telinga aku dengar tuduhan tidak berasas encik Amir. Kalau dia bukan pensyarah aku, sudah lama aku..
Pang! Aku memang tidak sengaja untuk menampar muka lelaki ini. Geram. Menggigil satu badan aku dibuatnya. Encik Amir terpana. Merah padam mukanya. Tiba-tiba dia menggengam pergelangan tanganku.
"Lepas! Lepas kalau tidak aku jerit! Lelaki tak guna!"
"Diam! Kau jangan nak banyak cerita. Orang nak tolong dah cukup baik. Bodoh!" herdiknya. Aku kerah seluruh kekuatanku untuk kulepaskan tangan dari genggamannya.
"Kau ni muka saja cantik. Mulut macam sampah!" Dia menolak aku ke dashboard dengan kuat. Kepala aku terhantuk.
"Aku nak tolong kau dengan kawan kau lah! Baik, aku akan beritahu kau hal yang sebenar. Si Ah Long ni, minta aku sepuluh ribu untuk dia lupuskan CD ni. Dia kata perempuan dalam ni pelajar kolej aku. Kau dengan kawan kau dah tak ada kerja lain nak buat?!"
Aku hanya diam. Aku tidak cukup tenaga lagi untuk melawannya. Dahiku berdenyut sakit.
"Sekarang mana aku nak cari sepuluh ribu untuk tutup aib kolej dengan aib kawan kau ni!" tengkingnya lagi.
"Bawa saya jumpa orang itu. Atau biarkan saya urus masalah ini sendiri." Aku tekan butang eject untuk mengeluarkan cd itu. Aku buka kunci pintu kereta dan keluar. Encik Amir langsung tidak menghalangku. Malah dia memandu laju BMW nya setelah aku keluar dari kereta. Aku langsung tidak faham motif encik amir membawa aku ke kawasan sunyi begini semata-mata untuk membincangkan soal aishah. Mungkin ada niat yang tersembunyi yang tidak sempat dia zahirkan kerana pertengkaran kami yang berlaku tiba-tiba. Lemah longlai aku menyusur tepi jalan. Dahiku terasa makin kuat berdenyut. Bahang panas matahari seakan makin membakar dalam luka di dahiku. aAku tidak terdaya lagi untuk melangkah walau seinci. Aku rebah di bahu jalan. Pandangan semakin samar. Mungkin luka dahi ini memberi kesan pada penglihatanku. Dari jauh aku ternampak kelibat orang sedang berbasikal ke arahku. Terlalu samar tenggelam dalam loga maya panas matahari. Kepala pula makin sakit. Pandanganku makin kabur. Dan...



Senja Cintaku Berbisik (5)

~Kehadiranmu bagai bintang-bintang kecil yang gemerlapkan gelap hatiku. Aku tahu itu indah. Namun aku tidak pernah tahu keindahan yang kau beri cuma sementara..~

Aku dah dapat lima ribu ringgit untuk tolong Aishah. Memang Allah tolong aku. Bukan senang nak kumpul sampai lima ribu! Ini hasil aku pinjam duit daripada teman-teman rapat yang telah berkerja. A friend indeed is a friend in need .. Hampir seminggu aku tunggu Aishah. Bila call asyik dengar suara operator Maxis saja. Risau juga apa-apa jadi pada Aishah. Kalau masuk Isnin ni dia tak contact aku, aku bertekad untuk membuat laporan polis.

Hujan renyai-renyai sebentar tadi mula surut. Aku dapat lihat sejalur pelangi merentangi tasik Astakona. Sungguh cantik. Memang tiada kata untuk kupujinya. Indah sungguh ciptaan Allah. Sedang aku asyik mengemas wayar laptop tiba-tiba aku disapa seorang lelaki. Bertubuh kurus tinggi. Bercermin mata. Pemilik raut wajah yang cukup tenang itu sedang berdiri mengukir senyum di hadapanku. KOPIAH MERAH. Itu trademark dia. Aku cukup kenal.

"Assalamualaikum, Nia Dahlia," susun atur yang ringkas. Namun cukup sempurna.
"Nak apa?" Aku sengaja bersikap acuh tidak acuh. Malas nak melayan ustaz-ustaz skema begini.
"Kenapa?" aku mengulangnya. Dia senyum lagi.
"Saya membawa pesan dari encik Amir," telahnya. Aku menarik muka. Letih. Letih dengan permainan encik Amir.
"Saya pohon maaf jika Nia tidak suka. Sebetulnya saya pun kurang setuju dengan apa yang encik Amir buat. Namun apa yang boleh saya buat. Saya hanya menyampai amanah," sambil menghulurkan sepucuk surat kepadaku. Aku diam. Memikirkan apa yang perlu kukatakan. Aku tidak menyambut huluran surat itu. Cukup aku benci pada pengirimnya. Tapi bukan pada si penghantarnya. Namun aku tetap bersyukur. Bersyukur dengan kemunculan tiba-tiba si kopiah merah ini menenangkan sejenak tasik hatiku. Aku hilang fokus sementara pada masalah Aishah.

"Hafiz, saya tak boleh terima surat ini. Saya sudah tahu apa isinya. Jika awak sudi, bacakanlah untuk saya. Tapi bukan sekarang. Bila masa itu perlu.." Aku cepat-cepat mengatur langkah meninggalkan Hafiz. Ya, itulah nama empunya milik kopiah merah. Entah mengapa kata-kata yg meluncur keluar dari bibirku begitu tersusun. Teratur. Mungkin kerana aura kata-kata kopiah merah yg cukup sopan menghalwa telingaku. Aku langkah cepat-cepat sebelum dia melihat rona-rona merah diwajahku. Sungguh aku tersipu malu ketika itu..


Tuesday, February 14, 2012

Senja cintaku berbisik (4)



"Moga cinta dahulu bukan dosa yang perlu kuratap kini..
Moga cinta dahulu mercu tanda kasih aku mencari cintaNya..
Tunjukkan aku Tuhan.. Tunjukkan aku jalan cintaMu yang sebenar"


~Aku sentiasa cuba padamkan kisah ini. Maka kerap aku menghiris persis hati sendiri tiap kali cuba ku lunturkan memori ini.. Aku tidak minta dia terus kekal. Kerana aku punya jalan hidup atur tersendiri. Dia juga begitu. Tuhan bawa hati ini jauh jauh untuk kusandarkan cinta buatMu...~


Aisyah dengan masalah hutangnya. Aku? Petang ini aku ada makmal dengan encik pensyarah. Malas rasa nak pergi. Bukannya apa, sejak dua tiga hari ini, aku pelik melihat perubahan encik Amir. Dia macam cuba nak lari dari aku. Aku yang aku dah buat? Apa rahsia yang dia tahu dan cuba sembunyikan? Aku rasa encik Amir tidak perlu nak memperlekehkan aku. Aku tahu status dan kedudukan aku sebagai pelajar. Dia? Sepatutnya dia beri tauladan untuk aku. Ini tak... Perubahan sikapnya memang mendadak. Asyik nak mempersendakan aku. Peristiwa minggu lepas yang buat aku naik angin dengan dia berlaku dalam kuliah kimia. Dia suruh aku seimbangkan persamaan kimia yang sudah nyata aku tidak tahu menyelesaikannya. Depan rakan pelajar yang lain. Dia ketawakan aku.

"Itulah, lain kali masa belajar, jangan berangan. Saya tak mengapa. Saya memang dah pandai." Pelik kan? Mengapa tiba-tiba dia sound aku macam tu. Kalau tiada angin, masa kan pokok bergoyang.
"Nak seimbangkan persamaan, emosi awak kena seimbang dulu. Saya dulu masa belajar memang tip top. Sebut Amir Hamzah semua student kenal," bangganya lagi.

"Ada aku kisah?" Aku hanya boleh bermonolog sendiri. Sambil tertanya-tanya dengan perubahan drastik encik Amir. Dulu bukan main mesra dengan aku sampai aku naik rimas. Sekarang? Aku rimas dengan sikap dia yang tiba-tiba itu. Jam sudah pukul 3.00 petang. Menunggu Aishah yang tak pulang-pulang. aku nak minta tolong Aishah hantar aku ke Arked Meranti. Makan sebelum ke makmal. Perut aku kosong sejak pagi tadi. Malas rasanya nak breakfast dan lunch. Tapi sekarang? Oh! Tidak. Kalau aku dapat jamah nasi dua tiga suap pun best ni.


Lagu ini akan berkumandang setiap kali ada panggilan masuk. Bunyi vibrate seakan seirama dengan lagu. Aku capai handset. Tengok siapa pemanggilnya. AISHAH. Huh! apa lagi masalah dia. Kenapa harus call? Patutnya dia pulang dan berbincang dengan aku. Nampaknya musnah harapanlah nak makan di Arked Meranti ni.

"Ya, nak apa?" straight to the point. Senyap sunyi.
"Aishah?"
Aishah masih membisu. Memang menguji kesabaran aku. Telefon tapi tak mahu cakap. Apa masalah dia?
"Aishah, jangan buang masa aku boleh tak?" Tiba-tiba aku terdengar bunyi esakan tangis. Aishah? Mengapa mesti menangis?
"Tolong aku.." Putus-putus suara itu aku dengar.
"Tolong aku.." Dia ulang lagi ayat yang sama.
"Aishah, kau kat mana ni?" Esak tangisnya makin kuat. Buat aku serba salah.
"Jangan buat aku risau Aishah, kau kenapa?"
Aishah masih membisu. Mungkin dia sedang mengumpul kekuatan untuk meneruskan ayatnya.
"Aishah," aku desak dia berkali-kali. Dia perlu beritahu aku. Aku memang bersedia tolong dia.
"Orang-orang Ah Long tu hantar sms,"
"Ok, then.."
"Kalau minggu ni aku tak boleh bayar RM 5000, mak bapak aku cuma dapat mayat aku saja," Suaranya bergetar. Selang seli dengan tangisan.
"Dah naik bunga jadi RM5000? Lintah darat betul. Kita pergi lapor polis,"
"No! Kalau kau nak tengok aku hidup lagi!"
"Ya Allah... bagilah aku petunjuk.." Kali ini suara aku pula mula bergetar. Seperti aku juga turut berada dalam masalah ini.  (bersambung)