Malam itu aku turun ke bawah. Menuju ke dapur. Dapat ku agak itu jalan ke dapur walaupun kali pertama aku menjejakkan kaki di rumahnya. Aku menangkap bunyi ketawa kecil kanak-kanak dari ruang dapur. Semakin aku menghampiri ruangan itu, tiba-tiba kurasa dada ini makin kuat debarnya. Mungkin aku malu atau...
"Nia, jemput duduk. Mari makan sama-sama," pelawa ummi. aku tersenyum sambil mengangguk. Aku mengambil tempat duduk di kerusi bersebelahan dengan ummi kerana itu sahaja yang kosong. Bila aku duduk baru aku perasan yang kerusi itu juga berhadapan tepat dengan Hafiz. Makin berdebar aku dibuatnya. Sewaktu ummi menghulurkan pinggan nasi kepadaku, aku perasan sendiri yang tanganku seolah-olah gigil sedikit. aku malu atau....
"Ceduk lauk tu Nia, Hafiz suka makan lauk tu.." ujar ummi. Aku menelan liur. Aku sungguh terkejut mendengar ujaran itu. aku nampak Hafiz memandang ibunya. Seakan memberi isyarat menyatakan sesuatu. Mungkin ummi tiada maksud apa-apa. Cuma aku sahaja yang rasa pelik. Aku memandang sambal ayam yang terhidang di hadapanku. Rupa-rupanya si kopiah merah ini sukakan sambal ayam.
Aku ceduk kuah sambal itu perlahan-lahan bimbang kalau-kalau terpercik ke atas meja. Walau aku tidak memandang Hafiz tapi aku dapat lihat dia memerhatikan aku menceduk kuah tersebut.
"Nia bermalam di sini ya. Esok ummi boleh tolong hantarkan Nia," pelawa ummi. Aku mengangguk. Sekali imbas aku memandang adik-adik Hafiz yang masih kecil. Mereka semua diam terpana melihatku. Seakan aku puteri raja yang duduk mencemar duli bersantap bersama mereka.
"Kak Nia ni cantiklah," Terkedu aku mendengar pujian itu. Aku hanya senyum malu-malu.
"Awatif, makan. Jangan kacau kakak." Lagi terkedu aku dengar teguran Hafiz.
"Wawa cakap yang betul, kan ummi?" Awatif cuba mendapat pembelaan. Ummi menguntum senyum.
"Cantik. Memang cantik ciptaan Allah. Sebaik-baik penyempurnaan." Bagai ada bayu dingin menghela di pipiku. Pertama kali aku dengar pujian sebegitu rupa. Pujian yang aku agak islamik. Aku cepat-cepat kunyah nasi di dalam mulutku sambil cuba tumpukan perhatian terhadap apa yang aku makan. Aku tidak mahu lagi hilang fokus. Nanti aku akan nampak seperti gelabah. Tiba-tiba.. Uhuk! Memang silap aku. Sudah besar panjang pun boleh tersedak. Aku menutup mulutku sambil tangan kiri cuba mencapai gelas berisi air masak yang agak jauh sedikit ke hadapan. Juga pada masa yang sama aku nampak Hafiz dengan cepat cuba mencapai gelas itu untuk diberikan kepadaku. Kerana dua-dua orang dalam keadaan kelam kabut, aku dan Hafiz tersentuh jari masing-masing. Akibatnya..
"Ya Allah," terpacul keluar dari mulutku. Air dalam gelas itu tumpah membasahi lapik meja. Kerana aku terkejut tersentuh jarinya, dia juga begitu. Kami sama-sama melepaskan gelas tersebut dan... tumpah. Ummi cepat-cepat meletakkan tisu di situ. Aku lihat muka Hafiz merah padam. Telinganya lagi merah daripada muka. Dia bangun menuju ke bahagian belakang dapur. Sebentar kemudian dia membawa kain pengelap. Aku rasa cukup kekok.
"Ummi, saya minta maaf," ujarku. Aku harap sangat ummi tidak terasa hati dengan apa yang berlaku.
"Tak mengapa, terjadi bukan kehendak kita," ujar ummi menyebabkan aku sedikit lega.
"Biar dulu kain tu Hafiz, makan dulu." Hafiz duduk kembali di kerusinya. Dia membisu seribu bahasa. Mungkin dia malu.
Selesai makan, kami semua berehat di ruang tamu. Aku ingin membantu pembantu rumah ummi mengemaskan meja makan namun dihalang ummi. Alasan ummi aku ini tetamu. Banyak juga cerita yang ummi kongsi dengan aku termasuklah pemergian arwah bapa Hafiz. Rupanya Hafiz ini anak yatim. Aku tidak pernah tahu hal kisahnya sebelum ini. Lama juga kami berbual sehingga aku minta izin ummi untuk masuk tidur. Lagipun, adik-adik Hafiz bersekolah esok. Ummi pula perlu bangun awal menguruskan anak-anaknya sebelum ke pejabat. Rupanya Hafiz mempunyai seorang ibu peguam syariah. Hebat sungguh keluarganya jika dibanding dengan keluargaku. Aku hanya anak seorang pemandu lori.
Ketika aku sedang bersiap untuk tidur, pintu bilik diketuk sekali dan sekeping kertas A4 ditolak masuk ke dalam melalui bawah pintu. Aku pergi mengambilnya. Nia, saya mohon maaf atas kesilapan sebentar tadi. Demi Allah saya tidak sengaja dan tidak layak untuk menyentuh muslimah yang bukan muhrim saya. Saya benar-benar menyesal. Maafkan saya. Aku terduduk. Ada juga lelaki seperti ini. Ku sangkakan kaum Adam memang suka mengambil kesempatan namun ada juga yang bukan begitu. Aku lipat kertas A4 itu hingga menjadi kecil. Aku selitkan di antara muka surat buku nota kuliah. Hari ini macam-macam berlaku kepadaku. Apa yang ingin Tuhan tunjukkan kepadaku masih lagi samar. Aku doakan Aishah. Moga Allah membantunya. Aku doakan arwah ibuku dan arwah bapa Hafiz. Jauh dalam sanubariku, aku bersyukur ditemukan dengan keluarga ini. Dan aku sangat bersyukur ditemukan dengan Hafiz.
Aku tersenyum sendiri. Tiba-tiba aku dilayan seperti wanita suci yang tidak pernah melakukan dosa. Hati tiba-tiba berbunga riang. Aku masih lagi tersenyum sendiri.
~Adakah ini namanya cinta?~
No comments:
Post a Comment