Sunday, February 19, 2012

Senja Cintaku Berbisik (9)



Aku lihat kasut Aishah ada di luar bilik. Dengan pantas aku segera menolak daun pintu. Aishah ada di dalam bilik. aku menghela nafas lega. Dia lena berbaring di katil. Aku tidak berniat untuk mengejutkan Aishah bangun dari tidur. Mungkin dia terlalu letih dengan apa yang berlaku padanya. Perlahan-lahan aku letakkan beg dan kemas-kemas apa yang patut.
"Kau dah balik." Rupa-rupanya Aishah sedar kepulanganku. Aku hanya mengangguk. Sengaja tidak mulakan apa-apa perbualan.
"Aku sampai awal pagi tadi, tahu-tahu kau tak ada. Balik kampung?"
"Ya," ringkasku. Tidak mungkin aku ceritakan padanya apa yang berlaku.
"Encik Amir ada jumpa kau?" Pertanyaan itu seakan-akan menerobos ke lubuk hatiku.
"Kenapa?" Aku cuba berpura-pura. Manalah tahu Aishah hanya serkap jarang saja.
"Aku suruh dia jumpa kau, dia ada jumpa kau?" Sungguh aku tidak tahu bagaimana hendak menipu lagi. Bagaimana juga untuk berterus terang?
"Ada.." bergetar sedikit nada suaraku. aku menghampiri Aishah.
"Ada apa-apa yang kau nak kongsi dengan aku?" aku cuba sebaik mungkin memulakan bicara tanpa mengguris atau menghiris perasaannya.
"Kau dah tengok video tu?"
Aku diam.
"Dah tengok?" Aishah mengulang pertanyaan yang sama. Aku angguk.
"Dia ada beritahu kau apa-apa?" tanya Aishah lagi. Seolah-olah aku bagai orang salah.
"Orang yang kau berhutang.. nak sepuluh ribu.."
"Lintah darat tu? Ya, mereka nak sepuluh ribu, aku yang suruh mereka cari encik Amir dan minta sepuluh ribu,"
"Tapi kenapa kau suruh mereka jumpa dia? Kenapa tak direct dengan aku? Sekarang dia pun dah tahu pasal kau,"
"Aku sengaja suruh lanun-lanun tu cari dia. Sebab aku tak percaya mereka tu. Kalau mereka jumpa kau, aku tak rasa kau akan selamat,"
"Macam mana kau boleh agak, si Amir tu akan jumpa  dan beritahu aku?"
"Aku call dia. Lepas aku dapat lari dari mereka semua tu. Aku suruh dia jumpa kau. Dan mungkin sekarang ni encik Amir dalam bahaya." Selamba sahaja reaksi muka Aishah. Langsung tiada rasa takut atau rasa bersalah.
"Kau jangan ikut encik Amir pergi mana-mana. Aku rasa mesti dia sedang cari kau dan aku. Sebab geng-geng ah Long tu mesti cari dia,"
"Aku tak faham kenapa kau libatkan dia dalam hal ni.."
"Dia orang pertama yang terlintas dalam fikiran aku," balas Aishah. Perasaan aku berbaur. Rasa nak marah, geram, sedih... aku langsung tak faham dengan Aishah. Lepas satu, satu masalah dia timbulkan.
"Tak pasal-pasal encik Amir terlibat," getusku.
"Video kau tu.. kenapa kau sanggup buat macam tu?" tambah aku lagi.
"Aku cuma ada pilihan. Nyawa ataupun buat begitu. Kalau aku tak ikut arahan mereka, sudah pasti kau tak akan jumpa aku lagi. Aku pun tak nak lah mati kena bom ke, hanyut laut ke.. setidak-tidaknya, ada nisan untuk aku lagi," ujarnya. Aku langsung tidak bersetuju dengan kata-kata Aishah. aku lebih rela mati mempertahankan maruah daripada bertindak begitu. Mungkin aku tidak berada di tempatnya. Kalau aku diuji sebegitu? Ya Allah, tolong lindungi aku... dan Aishah.
"Aku ada lima ribu," aku cuba memendekkan perbualan. Hati aku benar-benar panas dengan sikap Aishah.
"Aku tak perlu duit kau tu. Faham?" balasnya.
"Kenapa? Apa pula idea kau kali ni?"
"Kau simpan saja duit tu. Entah dari mana kau dapat. aku sebenarnya pun menyesal libatkan encik Amir dengan kau dalam hal ni. Kalau dia selamat, mungkin kau yang tak selamat.." Riak muka Aishah yang tampak bersahaja benar-benar buat aku tertekan. Dia yang cipta masalah, nak tinggal macam tu sahaja.
"Kita lapor polis," cadangku. Aishah hanya ketawa kecil. Belum sempat kau pijak pintu pagar depan tu, agak-agak siapa yang mati dulu?"
Dia mungkin bergurau atau sengaja menakutkan aku. Mustahillah geng-geng Ah Long tu boleh masuk sampai ke kolej ni. Pengawal keselamatan ada.
"Kau nak buat apa?" Malas  melayan karenahnya. Aku hanya ingin dengar sahaja buat masa ni.
"Aku minta maaf dengan kau Nia. Juga pada encik Amir. Aku memang tak berniat nak libatkan orang lain dalam masalah aku. Waktu tu aku terdesak. Memang terdesak. Entah kenapa aku boleh suruh mereka cari encik Amir untuk minta sepuluh ribu,"
"Kenapa encik Amir tak lapor polis? Dan kenapa dia bawa aku kawasan bukit.. sunyi," ceritaku.
"Dia bawa kau kawasan bukit? Lepas tu?"
"Belum sempat sampai ke tempat yang dituju, kami bergaduh. Aku keluar dari kereta," ujarku.
"Mungkin nasib kau baik. Mungkin dia bawa kau ke tempat aku diculik tempoh hari,"
Aku benar-benar terkejut!
"Kau tak payah buat muka terlopong macam tu. Sekarang aku nak kau berhenti dari kolej ni boleh?"
Entah apa jenis permintaan yang dia ajukan. Berhenti dari kolej? Bunyi macam kes besar. Kalau bahaya ini kes polis. Kenapa aku tidak boleh menggunakan khidmat polis untuk selesaikan masalah ini?
"Aku tak faham, kenapa kau tak mahu aku lapor polis,"
"Sebabnya, aku memang ditakdirkan mati untuk masalah ini. Biar apa pun cara," balas Aishah. aku benci dengar ujaran itu. Dia seolah-olah berputus asa. Putus asa pada Tuhan.
"Aku nak mandi dulu. Kau jangan ke mana-mana. Kita belum habis berbincang," ujarku sambil mencapai tuala dan perkakas mandi. Sengaja mandi untuk kali kedua pagi ini. Untuk terapi diri. Aku sungguh tertekan dengan keadaan sekarang. Aishah mengangguk. Sebelum aku keluar dari bilik..
"Nia.." Dia bersuara lembut. Aku toleh memandangnya.
"Kau sahaja sahabat aku dunia akhirat. Aku nak minta maaf dengan kau. Ikhlas. aku bodoh dan berdosa kerana libatkan kau dan encik amir dalam masalah ni, kau maaf kan aku.." Hambar sahaja nada suaranya. Tiba-tiba muncul kekuatan dari dalam diriku untuk pergi mendakapnya. Kami berpelukan. Suasana tegang sebentar tadi kembali tenang. Aku dan dia sama-sama menangis. Aku peluk erat-erat Aishah. Sungguh kami buntu ketika ini. Tuhan.. tolong aku..
"Tadi kau nak pergi mandi kan? Pergilah busuk!" Gurau Aishah. Dia seperti cuba menceriakan keadaan. Dia lantas menolak tubuhku perlahan dan kembali ke katilnya. Aku mengesat air mata di pipi sambil memerhatikan Aishah. Dia membalas pandanganku dan tersenyum..

No comments:

Post a Comment