Saturday, February 25, 2012

Senja cintaku berbisik (12)

Aku dikejutkan dengan laungan azan dari arah Masjid Sultan Ismail. Aku terus mencapai handphone untuk melihat kalau-kalau ada mesej atau panggilan yang aku tidak sedar. Memang ada satu mesej yang mungkin baru dihantar. Agak risau juga untuk membacaya. Namun ku kuatkan semangat ini untuk melihat isi kandungan mesej.

 SOHABUL KHAIR

Mesej itu datang dari Hafiz. Hati tidak berbunga seperti selalu. Aku dirundum resah. Aku terus ke bilik air untuk mandi kemudian menunaikan solat subuh. Selesai mandi kulihat ada lagi satu mesej masuk.

KHAIFAHALUKI? BARAKALLAH HU FIK

Juga dari Hafiz. Mungkin dia ternanti-nanti balasan mesejku. Selesai aku solat subuh, aku terus bersiap-siap untuk keluar. Sebelum itu..

TERIMA KASIH UNTUK DOA PAGI-PAGI HARI

Itu balasan mesej ringkasku untuk Hafiz. Moga dapat menghilangkan resah penantiannya. Jika dia menantikan balasan mesej ku. Jika tidak, cukuplah sekadar sebagai ucapan terima kasih untuknya. aku kayuh basikal menuju ke balai polis. Harap-harap sudah ada polis yang bangun dari tidur. Sampai sahaja di balai, aku terus menceritakan apa yang berlaku. Polis wanita yang bertugas di kaunter pagi itu menyuruh aku membuat laporan bertulis. Riak wajah polis itu bersahaja. Langsung tidak menunjukkan reaksi cemas seperti aku. Penat aku bercerita dengan penuh semangat siap hampir menitiskan air mata lagi, dia hanya mengangguk dan kemudiannya memberi aku sekeping kertas. Cukup hampa. Itulah yang aku rasakan.

Mungkin betul juga katanya. Kes aku ini kategori kes orang hilang. Mesej yang aku terima tidak boleh dianggap begitu serius. Kerana banyak kes yang hanya main-main. Kakak polis itu suruh aku telefon semua kenalan Aishah dan juga sanak saudaranya. Tambah polis itu lagi bukan Aishah sahaja yang hilang semalam. Dan bukan  Aishah seorang yang kesnya bersangkut paut dengan hutang Ah Long. Itu aku tidak nafikan. Agaknya sudah berapa ramai yang mati kembung di laut...

Aku beri cd memaparkan aksi Aishah bersama lelaki-lelaki itu kepada polis tersebut. Mungkin berguna mungkin juga tidak. Selesai membuat laporan, aku terus pulang. Tidak tahu apa yang harus dilakukan lagi.

Aku melintasi kawasan gereja lama yang letaknya berhampiran dengan kolejku. Kawasan semak samun yang cukup untuk menegakkan bulu roma! Ada sebuah kereta merah dalam kawasan gereja tersebut. Selama ini aku tidak pernah nampak ada sebarang kenderaan di kawasan itu. Aku memang akan menjenguk pandang ke dalam kawasan gereja tersebut setiap kali aku melewatinya.
"Pelik," getus hati kecilku. Mungkin juga kawasan itu nak dibangunkan, tiada apa yang pelik... Kata-kata itu untuk menghilangkan tanda tanya yang tiba-tiba memukul minda kepala. Aku terus mengayuh basikal hingga ke persimpangan jalan.

Tiba-tiba...

No comments:

Post a Comment