"Kau tak habis-habis menyusahkan orang.." getus hati kecilku. Kecewa dengan sikap Aishah. Aku lantas menyarung tudung kepala dan mencapai kunci basikal. Niat aku untuk pergi mencari Aishah. Bawa dia pulang ke kolej ataupun terus teman dia pulang ke kampung. Kampung? Mungkin juga dia ke sana.
Aku mengayuh basikal menuruni jalan berbukit di kawasan fakulti sains teknologi. Di situ ada perhentian bas. Aku fikir mungkin Aishah sedang menunggu bas di situ. Tanggapanku meleset. Tidak kelihatan bayangnya pun. Aku memberhentikan basikal. Menuntun sampai ke koridor fakulti. Sunyi sepi. Mungkin sebab cuti pertengahan semester baru bermula. Cuti seminggu. Aku naik ke tingkat satu bangunan S1 menuju ke kawasan bilik-bilik pensyarah. Pertama kali aku naik ke situ. Selang dua bilik dari tangga aku temui apa yang aku cari. Di pintu bilik terpampang nama AMIR HAMZAH. Aku ketuk pintu bilik itu perlahan-lahan. Tiada jawapan. Aku ketuk lagi. Masih seperti tadi. Kali ini aku ketuk kuat sikit. Tiada lagi jawapan. Aku hampir hilang sabar. aku ketuk pintu itu dengan kuat dan bertubi-tubi. Juga tiada apa-apa perubahan!
"Encik Amir!" jeritku sekuat hati. Mungkin tindakanku menarik perhatian orang. Tiba-tiba pintu bilik sebelah dikuak. Ada seorang pensyarah wanita keluar dari bilik dan memandangku. Pandangannya tampak mesra.
"Kamu nak jumpa encik Amir? Kenapa?"
"Hantar tugasan," ringkasku. Tipu.
"Oh, boleh hantar pada saya sementara kelas kamu dapat pensyarah ganti. Kamu dari kumpulan apa?"
Aku terperangkap dengan helah sendiri. Susah betul berbohong. Sekali bohong kita perlu bohong dan bohong lagi.
"Pensyarah ganti? Kenapa ada pensyarah ganti?" tanyaku. Selamat soalan itu terlintas di benak fikiran.
"Encik Amir sudah berhenti. Saya pun tak pasti sama ada dia dapat kerja di tempat lain ataupun dia berhenti untuk sambung belajar. Yang pasti dia bukan ambil cuti," ujar pensyarah tersebut.
"Terima kasih, puan," sambil aku berlalu dari situ.
"Assignment kamu?"
Aku menoleh ke belakang.
"Tak mengapa puan. Nanti saya hantar selepas buka cuti semester," helahku. Aku segera menuruni tangga. Encik Amir sudah berhenti kerja. Kenapa begitu drasti tindakannya? Mungkin geng-geng Ah Long itu ada mengugutnya. Tapi dia ke mana? Aku terus mendapatkan basikal. Aku mesti pergi cari Aishah. Aishah juga dalam bahaya.
Sebaik sahaja aku belok ke simpang kiri, aku ternampak Hafiz sedang mengayuh basikal mungkin menuju ke perpustakaan. Aku kayuh basikal perlahan-lahan di belakangnya. Berdoa semoga dia tidak sedar kehadiranku. Tapi jauh dalam hati aku berharap dia menoleh ke belakang. Aku perlahankan kayuhan supaya jarak antara kami jauh. Tapi aku sedar Hafiz juga makin perlahan. Aku cuba untuk kayuh dengan lebih perlahan sehingga basikalku melelong sedikit. Hafiz berhenti seraya menoleh memandangku. Aku juga berhenti tiba-tiba. Dia tersenyum. Berdiri seperti menungguku. Sumpah aku tidak ingin ke sana tapi aku tidak tahu apa yang menarikku seakan aku bergerak sendiri ke arahnya.
Sampai sahaja aku di situ dia memulakan kayuhan. Dan kali ini kami beriringan. Terasa seperti hilang segala masalah yang berbukit di fikiran. Namun aku tidak boleh terus berbuai dengan perasan. Ada perkara lebih penting yang aku perlu segerakan. Pergi cari Aishah.
"Nia nak ke mana?" tuturnya. Lembut sahaja percakapannya. Sopan. Yang baik-baik sahaja boleh ku diskripsi tentang Hafiz.
"Keluar," balasku.
"Seorang diri? Bahaya Nia. Mana kawan yang selalu sama-sama dengan Nia?"
"Err.. dia.. cuti. Ya, cuti," aku tergagap-gagap menuturkannya. Yalah, ini entah masuk kali ke berapa aku menipu semua orang.
"Bagaimana Hafiz boleh jumpa Nia terbaring di tepi jalan?" Memang itulah persoalan yang bermain di fikiranku sejak dirumah Hafiz lagi.
"Oh, hal itu. Kebetulan. Saya keluar bersiar-siar. Ambil angin bukit. Tiba-tiba ternampak kelibat orang berbaring di tepi jalan. Saya datang dekat, tengok-tengok orang itu Nia. Saya pun terkejut kenapa Nia boleh tidur di situ," guraunya sinis. Aku tersenyum mendengar ujaran itu.
"Nia kalau dah mengantuk, di mana-mana boleh tidur. Janji free," gurauku. Dia juga tersenyum. Senyuman paling manis abad ini...
No comments:
Post a Comment