Thursday, February 16, 2012

Senja Cintaku Berbisik (6)

Semasa di kelas bahasa inggeris tadi aku nampak kopiah merah curi-curi jeling ke arahku. Bagaimana aku boleh tahu? Dua jam kelas berlangsung titik tumpuanku hanya pada kopiah merah. Aku takut kalau-kalau dia fikir yang bukan-bukan dengan kata-kata aku semalam. Yalah, dia pelajar yang disegani di kolej kami. Aku pun jadi turut segan dengan dia. Memang terkenal ketinggian ilmu agama dan kerendahan hati budinya. Mungkin dia tidak minta disegani sebegitu rupa. Tapi adat manusia. Orang akan jadi segan dengan kita bila ada cop hitam di dahi. Itu bukan sebarangan cop. Kata arwah tok wan itu tanda orang banyak bersujud. Disebabkan itu terkesan pada dahinya. Itu jawapan tok wan sewaktu aku bertanyakan kenapa dahi Lebai Wahab ada lebam? Kini aku nampak sendiri kesan itu di dahi kopiah merah. walaupun hanya nampak separuh kerana ditutup dengan rapi oleh kopiah merah yang dipakainya.

Aku pelik kenapa si kopiah merah ni asyik jeling-jeling memandangku. Kadang-kadang aku balas jelingan itu sehinggakan dia terkejut dan menunduk saja kepalanya memandang meja sehingga selesai kelas. Puas hati aku. Aku menuruni tangga seribu menuju ke kafeteria. Oh ya, tangga seribu ini dinamakan sempena jumlah anak tangga yang begitu banyak sehingga tidak terkira oleh kami. Bayangkanlah tangga yang dibina dari atas bukit sampailah ke bawah bukit. Bukankah tangga seribu nama yang sesuai untuknya? Aku memesan teh limau ais sebagai upah untuk diriku sendiri kerana berjaya menuruni tangga seribu. Tidak ramai pelajar yang sanggup menggunakan laluan itu. Cuma yang gagah perkasa seperti aku saja yang sanggup! =)

"Nia," Ops! Aku kenal sangat dengan suara itu. Takut aku menoleh untuk memandangnya.
"Nia, jangan buat tak dengar pula,"
"Apa lagi encik Amir?"
"Boleh kita berbual kat tempat lain?"
"Saya ada kerja nak buat lepas ni. Tak ada masa nak berbual,"
"Sebentar saja. Pasal Aishah." Dia seakan cuba memancing minatku. Mahu atau tidak aku menurutinya. Buat pertama kalinya aku masuk dan duduk dalam kereta BMW milik encik pensyarah itu. Dia memandu menuju ke kawasan berbukit. Mengapa begitu jauh dia bawa aku jika mahu berbual tentang Aishah?
"Kita nak ke mana sebenar ni, encik Amir?" Aku mulakan perbualan. Bosan lama-lama duduk berdua dalam kereta bersamanya. Dia hanya tersengih. Benci aku melihat sengihan itu.
"Diam saja. Nanti awak akan tahu,"
"Saya ada kelas lepas ni," bohong aku. Dia hanya membisu. Sepatah pun tidak membalas.
"Encik Amir! Jangan menguji kesabaran saya. Cukuplah saya bersabar dengan perangai encik Amir selama ini." Aku sendiri tidak percaya apa yang aku tuturkan itu. Encik Amir memandangku tajam. Dia mengeluh dan menekan brek kereta dengan tiba-tiba. Kereta itu hampir terbabas dek cara pemanduannya.
"Kamu tengok ni." Dia memasukkan sekeping cd ke dalam cd driver . Entah mengapa tiba-tiba jantungku berdegup kencang. CD itu memainkan satu wayang yang dirakam kamera amatur. Aku lihat betul-betul pada wanita di dalam wayang tersebut. Aku kenal benar suaranya. Rupanya.
"Aishah?"
"Mana encik Amir dapat ni? Apa encik dah buat pada Aishah? Saya tak akan biarkan encik Amir buat begini pada Aishah!" Aku seperti tidak dapat mengawal diri lagi. Benci aku pada encik Amir semakin meluap-luap. Psiko rupanya dia ni.
"Bertenang. Bukan saya yang buat semua ni. Saya beli CD ni sewaktu sedang makan malam di restoran mamak malam semalam, saya pun terkejut tengok. Yang paling saya terkejut bila tengok Aishah heroinnya,"
"Diam! Saya tak percaya. Ini semua muslihat encik Amir kan? Apa yang encik mahu sampai buat kawan saya begini?!" Aku marah betul dengan lelaki di hadapanku sekarang. Lelaki yang aku rasa bertopengkan syaitan. Aku tahu ada berjuta sebab Aishah di atas katil melayan lelaki-lelaki dalam video ni. Aishah bukan perempuan liar!
"Awak nak tuduh saya? Saya cuba nak tolong awak dengan rakan awak, awak cakap begini pada saya? Masalah peribadi janganlah dicampur aduk dengan masalah ini!"
"What? Masalah peribadi apa pula ni? Bila masa pula saya berkongsi hal peribadi dengan encik?!"
"Surat cinta dua bulan lepas yang saya dapat siapa yang karang? Awak kan? Cuma awak saja yang pandai bersastera dalam kolej ini,"
"Surat cinta apa? Bila masa saya tulis? Tengok muka encik pun saya geli, ini kan nak karang surat untuk encik,"
"Saya dah kirim surat tu pada seorang pelajar lelaki suruh dia pulangkan semula kepada awak, sebab saya rasa tidak boleh nak terima cinta awak. Saya yang silap. Saya tak sengaja buat awak jatuh hati pada saya. Saya dah bertunang. Lagipun saya perlukan isteri yang berkarier. Bukan pelajar yang tak ada wawasan macam awak!" Berdesup telinga aku dengar tuduhan tidak berasas encik Amir. Kalau dia bukan pensyarah aku, sudah lama aku..
Pang! Aku memang tidak sengaja untuk menampar muka lelaki ini. Geram. Menggigil satu badan aku dibuatnya. Encik Amir terpana. Merah padam mukanya. Tiba-tiba dia menggengam pergelangan tanganku.
"Lepas! Lepas kalau tidak aku jerit! Lelaki tak guna!"
"Diam! Kau jangan nak banyak cerita. Orang nak tolong dah cukup baik. Bodoh!" herdiknya. Aku kerah seluruh kekuatanku untuk kulepaskan tangan dari genggamannya.
"Kau ni muka saja cantik. Mulut macam sampah!" Dia menolak aku ke dashboard dengan kuat. Kepala aku terhantuk.
"Aku nak tolong kau dengan kawan kau lah! Baik, aku akan beritahu kau hal yang sebenar. Si Ah Long ni, minta aku sepuluh ribu untuk dia lupuskan CD ni. Dia kata perempuan dalam ni pelajar kolej aku. Kau dengan kawan kau dah tak ada kerja lain nak buat?!"
Aku hanya diam. Aku tidak cukup tenaga lagi untuk melawannya. Dahiku berdenyut sakit.
"Sekarang mana aku nak cari sepuluh ribu untuk tutup aib kolej dengan aib kawan kau ni!" tengkingnya lagi.
"Bawa saya jumpa orang itu. Atau biarkan saya urus masalah ini sendiri." Aku tekan butang eject untuk mengeluarkan cd itu. Aku buka kunci pintu kereta dan keluar. Encik Amir langsung tidak menghalangku. Malah dia memandu laju BMW nya setelah aku keluar dari kereta. Aku langsung tidak faham motif encik amir membawa aku ke kawasan sunyi begini semata-mata untuk membincangkan soal aishah. Mungkin ada niat yang tersembunyi yang tidak sempat dia zahirkan kerana pertengkaran kami yang berlaku tiba-tiba. Lemah longlai aku menyusur tepi jalan. Dahiku terasa makin kuat berdenyut. Bahang panas matahari seakan makin membakar dalam luka di dahiku. aAku tidak terdaya lagi untuk melangkah walau seinci. Aku rebah di bahu jalan. Pandangan semakin samar. Mungkin luka dahi ini memberi kesan pada penglihatanku. Dari jauh aku ternampak kelibat orang sedang berbasikal ke arahku. Terlalu samar tenggelam dalam loga maya panas matahari. Kepala pula makin sakit. Pandanganku makin kabur. Dan...



No comments:

Post a Comment