Aku sedar ujian untuk Aishah datang bertimpa-timpa. Terperangkap dengan masalah ayahnya yang kaki judi, ibu pula lumpuh akibat kemalangan dulu, kini adiknya disahkan mengidap penyakit pula. Mungkin dia cuba ambil jalan mudah untuk selesaikan semua itu. Aku khilaf sebagai sahabatnya. Aku seharusnya ambil tahu tentang Aishah. Walaupun dia langsung tidak pernah bercerita tentang keluarganya.
Badan terasa begitu letih. Aku terus baring di atas katil setelah selesai menunaikan solat Isya'. Sambil menggengam handphone di tangan. Aku mengharapkan ia berbunyi. Sama ada dari Aishah atau.. Hafiz. Siang tadi sewaktu terserempak dengan Hafiz, aku beri dia nombor telefonku. Entah mengapa aku berbuat demikian. Mula-mula agak takut. Takut kerana peribadinya. Aku tahu dia bukan calang-calang lelaki. Aku juga tahu aku seperti sudah jatuh cinta kepadanya. Cuma yang aku kurang pasti adakah aku menyintainya atau aku cinta kepada peribadinya. Katakanlah dia nakal seperti kenalan kolej ku yang lain-lain, mungkin aku langsung tidak memandangnya. Aku juga sempat meminta nombor telefon Hafiz. Mula-mula dia agak keberatan. Tapi selepas itu dia terus menuliskannya di atas sekeping kertas kecil. Kertas itu sudah tercicir sewaktu aku sibuk mencari Aishah di stesen bas petang tadi. Namun nombor telefonnya telah kusemat dalam minda.
ASKM. HAFIZ. MAAF MGANGGU AWK. SY HARAP SMS INI X MNIMBULKN KMARAHAN AWK. SY CUMA INGIN BTERIMA KASIH KRN SUDI JD KWN SY.
Dengan beraninya aku hantar mesej tersebut. Aku tunggu. Lama juga. Tiba-tiba...
W'SLM.. INSYAALLAH. JAGA DIRI SAHABAT.
Aku tersenyum sendiri. Rasa macam nak balas pula sms itu. Tapi aku fikir, cukup sampai sini dahulu. Aku tak mahu dia fikir aku mengundang dosa padanya. Jauh dalam hati aku berharap moga dia faham maksudku untuk berkawan dengannya. Aku bukan mahu menjadi teman maksiatnya. Jujur aku mahu menjadi teman hidupnya. Aku tahu dia terlalu baik untukku. Dia mungkin langsung tidak pernah bercinta. Sedangkan aku? Aku mudah jatuh cinta pada lelaki. Jika lelaki itu pandai, maka aku menyintainya. Jika dia baik, aku menyintainya. Jika dia ada ciri-ciri penyayang dan bertanggungjawab terus aku jatuh hati. Tapi, aku cuma tidak suka jika lelaki itu yang dahulu memulakan. Kerana prinsipku tekad. Aku hanya menyintai lelaki yang aku dahulu jatuh hati padanya sebelum dia jatuh hati padaku. Agak rumit prinsip ini. Namun itulah aku. Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi lagi. Tanda mesej masuk. Hati bagai penuh bunga setaman. Tapi..
BODOH. LU KAWAN DIA KN? KUTIP KAWAN LU PUNYA BANGKAI!!!
Ya Allah!! Itu nombor telefon Aishah. Perasaan aku tiba-tiba bergetar. Seluruh tubuh jadi lemah longlai. Aku berdoa ini bukan gurauan Aishah. Sungguh aku buntu. Ya Allah, beri aku petunjuk. Aku menahan getar dalam dada. Seperti mahu menangis sekuat hati. Aku gagahkan diri untuk bangun. Aku cuba telefon encik Amir. Dia berada di luar kawasan. Tidak tahu di mana encik Amir berada sekarang. Aku cuma tahu memohon doa moga Allah memelihara encik Amir dan Aishah. Tuntas kurasa mereka dalam bahaya. Aku tidak berani keluar waktu malam begini. Esok aku akan buat laporan polis kerana esok baru cukup 24 jam kehilangan Aishah. Aku tidak jadi tidur. Aku bangun dan menunaikan solat hajat. Membaca Yassin untuk mereka moga Allah bersama mereka. Berdoa, berzikir di sejadah sehingga aku tertidur...
Malam yang tiba-tiba kurasa begitu tenang, sejuk nyaman. Walau aku cuba untuk bersengkang mata namun aku seolah dibuai. Aku terbaring di sejadah. Tidur tapi aku rasa seperti dalam keadaan sedar dan hanya doa yang berkumat kamit di bibir.
~Ya Allah, peliharalah sahabatku ya Allah. Lindunginya dunia akhirat ya Allah. Beri aku peluang menemui sahabatku itu ya Allah. Bantu aku ya Allah. Bantu aku... bantu aku...~
mulia,
No comments:
Post a Comment